Sejarah Bahagian Miri

 

Sejarah Bahagian Miri


Picture

Bahagian Miri adalah terletak di utara Negeri Sarawak yang bersempadan dengan Negara Brunei Darulsalam dan Wilayah Kalimantan Timur, Indonesia.  Sebelum tahun 1841, Negeri Sarawak masih di bawah pemerintahan Kerajaan Kesultanan Melayu Brunei.  Akibat ketidakstabilan politik dan keadaan kacau-bilau telah membawa peralihan pemerintahan Negeri ini kepada James Brooke atau keluarga Brooke.  Charles Brooke sebagai Rajah ketika itu, telah melantik seorang Residen di setiap Bahagian bagi membantu beliau dalam mentadbir kawasan tersebut.  Pada  tahun 1883, Sultan Brunei telah menyerahkan kawasan Bintulu dan Baram kepada Rajah Sarawak.

Pada tahun 1945 sehingga 1963 Negeri Sarawak telah diletakkan dibawah pemerintahan Koloni British dan ianya telah dibahagikan kepada lima bahagian. Bahagian Ke-empat Negeri Sarawak ketika itu merangkumi Daerah Miri, Baram  dan Bintulu.  Pada tahun 1979 Daerah Bintulu telah dinaiktaraf kepada satu Bahagian Pentadbiran yang baru.

Bahagian Miri pada masa kini mempunyai keluasan 26,777km2 dan mempunyai jumlah penduduk 307,782 orang. Bahagian Miri dibahagikan kepada dua Daerah seperti berikut:-

a. Daerah Miri (termasuk Daerah Kecil Sibuti dan Daerah Kecil Niah)

b. Daerah Marudi (termasuk Daerah Kecil Bakong dan Daerah Kecil Long Lama)

Pentadbiran Bahagian Miri dikenali sebagai Pejabat Residen dan Daerah yang mempunyai tiga(3) komponen iaitu:-

a. Pejabat Residen Bahagian Miri yang mentadbir keseluruhan Bahagian Miri yang diketuai oleh Residen

b.  Pejabat Daerah Miri yang mentadbir Daerah Miri yang diketuai oleh Pegawai Daerah.  Daerah Miri merangkumi Daerah Kecil Sibuti dan Niah. Masing-masing ditadbir oleh Pegawai Tadbir dan Penolong Pegawai Tadbir.

c.   Pejabat Daerah Marudi yang mentadbir Daerah Marudi yang diketuai oleh Pegawai Daerah.  Daerah Marudi merangkumi Daerah Kecil Bakong dan Long Lama dan masing-masing ditadbir oleh Penolong Pegawai Tadbir.